Wednesday 30 May 2012

JENIS-JENIS PENDAHULUAN



Pendahuluan Karangan

Pendahuluan karangan sangat penting dalam penulisan karangan kerana pendahluan karangan yang tepat dan menarik dapat menunjukkan isu yang hendak dibincangkan secara umum sekali gus memberi gambaran kepada pembaca bahawa penulis benar-benar faham akan tema yang hendak diketengahkan.

Antara jenis pendahuluan yang boleh digunakan untuk dimanfaatkan dalam penulisan karangan.

  1. Pendahuluan jenis definisi
  2. Pendahuluan jenis persoalan
  3. Pendahuluan jenis suasana
  4. Pendahuluan jenis peribahasa
  5. Pendahuluan jenis pendapat
  6. Pendahuluan jenis puisi
  7. Pendahuluan jenis sejarah
  8. Pendahuluan jenis gabungan.
  9. Pendahuluan jenis statistik
  10. Pendahluan jenis lirik lagu.

Latihan:

  1. --------------------------------------------

Sukarelawan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud orang lelaki yang melakukan sesuatu dengan sukarela.  Secara umum, sukarelawan boleh dimaksudkan sebagai seseorang atau kumpulan individu yang sanggup melakukan sesuatu perkerjaan tanpa mengharapkan sebarang balasan.  Mereka melakukan pekerjaan tanpa mengira masa demi membantu insan-insan yang memerlukan pertolongan. Malangnya, sejak akhir-akhir ini, semangat sukarelawan semakin luntur dan hanya segelintir individu sahaja yang sanggup melakukan sesuatu tanpa sebarang ganjaran.


  1. ------------------------------------------------

Sungai merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai dan amat berharga kepada manusia.  Walau bagaimanapun, keadaan beberapa batang sungai di negara kita berada pada tahap yang kurang memuaskan.  Terlalu banyak rungutan dilontarkan oleh setiap lapisan masyarakat tentang kualiti sungai di negara kita.  Persoalannya, mengapakah rungutan-rungutan ini timbul? Adakah sungai yang mengalir bersih sebelum ini mampu bertukar menjadi tercemar dengan sendirinya atau berpunca daripada sikap dan perbuatan manusia sendiri?



  1. ---------------------------------------------------

Alangkah indahnya suasana ketika itu. Jeritan suara anak-anak menikmati kesegaran arus sungai yang mengalir jernih kedengaran memecah kesunyian. Semuanya terasa indah pada saat itu, namun segala-galanya telah berubah. Kebanyakan sungai di negara kita dikategorikan sebagai sungai yang berada pada tahap kritikal kerana dihantui  masalah pencemaran. Jika keadaan ini terus dibiarkan, maka fungsi sungai sebagai nadi kehidupan akan tinggal kenang-kenangan.


  1. ------------------------------------------------------

Sering kali kita mendengar pengguna melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti barangan yang dibeli.  Malahan ada yang membuat aduan kepada Persatuan Pengguna di kawasan masing-masing. Pada hakikatnya, jika pengguna sendiri mengamalkan sikap alah membeli menang memakai pasti rasa tidak puas hati dapat dielakkan. Sebagai pengguna yang bijak, utamakanlah kualiti barangan walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit kerana hasilnya pasti memuaskan. Jadilah pengguna yang bijak dan anda pasti akan terhindar daripada helah para peniaga.

  1. -------------------------------------------------------

Menurut Datuk Alimuddin Mohd. Dom, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia akan menghantar sebanyak 30 orang pendidik terdiri daripada pengetua dan guru besar ke King’s College, United Kingdom (UK) untuk mendapat pendedahan tentang sistem Sekolah Kelompok (Cluster School) di negara berkenaan.  Langkah ini merupakan satu langkah bijak kerana hasilnya, mereka yang dihantar akan kembali dengan pelbagai maklumat yang pastinya dapat memberi manfaat kepada dunia pendidikan kita.

  1. -------------------------------------------------------

Malaysia akan menyambut Jubli Emas kemerdekaan negara kali ke-50 pada 31 Ogos 2007.  Tema dan logo “ Malaysiaku Gemilang” pada tahun ini mengingatkan kita tentang peristiwa pengisytiharan kemerdekaan negara oleh Yang Teramat Mulia Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, mantan Perdana Menteri Malaysia Pertama di Stadium Merdeka 50 tahun yang lalu. Laungan keramat “Merdeka” yang berkumandang pada pagi 31 Ogos 1957 itu merupakan detik bersejarah sekali gus negara kita bebas daripada belenggu penjajah.





  1. --------------------------------------------------
    
                                                Yang kurik itu kundi,
                                                Yang merah itu saga,
                                                Yang baik itu budi,
                                                Yang indah itu bahasa
.
            Pantun lama ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa budi bahasa amat penting untuk diamalkan dan seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dalam masyarakat. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda pada hari ini.
     


  1. -----------------------------------------------------

Menurut statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, secara keseluruhannya, pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2000 jelas menunjukkan bahawa pencapaian murid Bandar melebihi tahap penguasaan minimum (A, B, C ) bagi subjek Bahasa Inggeris, iaitu 67.5 peratus berbanding dengan murid luar Bandar, iaitu 51.9 peratus.

  1. --------------------------------------------------------

Jika kau fikirkan kau boleh,
Kau hampir boleh melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu,
Usahamu tidak menentu.

Jika diteliti lirik lagu tersebut, jelas sekali bahawa keazaman dan semangat menjadi penentu kepada kejayaan seseorang. Tanpa keazaman yang kuat, sudah pasti kejayaan sukar dicapai sebaliknya jika kita senantiasa berfikiran positif dan berazam untuk berjaya, pasti kita dapat menikmati hasilnya.

3 comments:

  1. share ya cikgu, terima kasih

    ReplyDelete
  2. Terbaik lah..saya mintak izin share ye..saya masih belajar..

    ReplyDelete
  3. Terbaik lah..saya mintak izin share ye..saya masih belajar..

    ReplyDelete