Thursday 31 May 2012

KAJIAN TINDAKAN


MENGAPA KAJIAN TINDAKAN SIGNIFIKAN?
Kajian tindakan sangat sesuai dijalankan oleh para guru untuk pembangunan profesionalisme melalui:
peningkatan kefahaman serta kesedaran kendiri penyelidik tentang sesuatu masalah dalam bilik darjah.
pengenalan inovasi dan pembaharuan dalam usaha meningkatkan kualiti P & P.
penglibatan diri dalam inkuiri refleksi amalan kendiri bertujuan memperbaiki atau meningkatkan tahap pendidikan.
kesedaran lebih tinggi tentang amalan penyelidik serta kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya.
KONSEP KAJIAN KUALITATIF
Kajian mendalam atas sesuatu situasi & individu.
Kutipan data melalui pemerhatian, temu bual, penulisan diari dan analisis dokumen.
Menjawab soalan berkaitan kenapa dan bagaimana.
Penyelidik terlibat secara langsung dalam kajian yang dijalankan.
Pendekatan kajian kualitatif—kajian kes, etnografi & grounded theory.
Menggunakan persampelan bertujuan.
Analisis data mengikut Miles & Huberman (1994) terdiri daripada data reduction, data display dan conclusion.
MENGAPA MENGGUNAKAN KAEDAH KUALITATIF?
Sebagai penyelidik, langkah awal sebelum memulakan penyelidikan adalah mewujudkan persoalan yang perlu dijawap. Jawapan diperoleh dengan menjalankan kajian. Terdapat dua jenis pendekatan iaitu berbentuk kajian kuantitatif dan kualitatif. Kajian kualitatif dijalankan untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang ingin dikaji (Marohaini 2001). Selain itu, kajian kualitatif juga dijalankan untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan sesuatu perkara yang dikaji (Yin, 1984). Ini bermakna untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mendalam kajian kualitatif dijalankan.
Tambahan lagi, kaedah ini boleh menerangkan peristiwa secara holistik dalam keadaan sebenar peristiwa berlaku tanpa sebarang manipulasi oleh penyelidik. Kajian ini menjawab persoalan berkaitan dengan mengapa sesuatu fenomena berlaku sedemikian dan bagaimana ia berlaku. Justeru, kajian dijalankan untuk menjawab soalan mengapa dan bagaimana yang dikemukakan oleh pengkaji. Pengkaji menjalankan kajian secara mendalam untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan kajian. Contoh persoalan kajian secara kualitatif ialah:
Mengapa guru masih tidak menggunakan pendekatan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka?
Bagaimana guru menjalankan aktiviti koperatif dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah? Dalam kajian kualitatif, penyelidik menjadi instrumen kajian (Creswell 1994). Penyelidik kualitatif merupakan instrumen untuk mengutip data dan menganalisis data. Penyelidik menyelidik peristiwa yang berlaku ketika kajian dijalankan. Kutipan data dijalankan secara berterusan. Kajian ini jarang membincangkan ciri kebolehpercayaan kerana kebolehpercayaan bergantuang kepada subjektiviti seseorang individu (M. Najib 1999). Kajian kualitatif merupakan kajian secara induktif iaitu penyelidik membina konsep, hipotesis dan teori untuk di kembangkan, dinyatakan dan dijelaskan.
BAGAIMANA MENGANALISIS DATA KUALITATIF?
Sebelum membincangkan mengenai cara menganalisi data, anda perlu tahu jenis dan bentuk kutipan data yang ingin dijalankan.
Pemerhatian—terdapat dua jenis pemerhatian iaitu pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta. Pemerhatian tidak turut serta biasa digunakan dalam kajian kualitatif. Dalam pemerhatian tidak turut serta, pemerhati tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang diperhatikan (Gay & Airasian, 2000). Selepas itu, penyelidik harus menentukan bentuk kutipan data yang sesuai digunakan untuk menjawab persoalan kajian.
Terdapat dua cara untuk mendapatkan data melalui kaedah pemerhatian iaitu pemerhatian berstruktur dan pemerhatian tidak berstruktur. Pemerhatian berstruktur selalunya menggunakan senarai semak pemerhatian manakala pemerhatian tidak berstruktur biasanya menggunakan catatan nota lapangan. Pemerhatian yang dilakukan menggunakan senarai semak lebih mudah untuk dianalisis dan memberi ruang kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian tanpa bantuan penyelidik lain. Flanders (1976) telah mengemukan senarai semak berkaitan interaksi guru-murid dalam bilik darjah. Beliau menggunakan senarai semak FIAC.
Manakala pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan agak sukar untuk dijalankan tetapi masih boleh digunakan dengan bantuan rakan penyelidik lain atau merakam menggunakan video/ alat perakan audioSemasa pemerhatian ini, penyelidik akan mencatat beberapa perkara yang diperhatikan seperti masa dan tempat pemerhatian dijalankan, keadaan tempat pemerhatian, aktiviti yang dijalankan dan refleksi penyelidik (Mohd. Najib, 1999). Pemerhatian berstruktur dianalisis menggunakan frekuensi dan peratus melalui senarai semak yang disediakan. Adalah lebih mudah menganalisis pemerhatian menggunakan senarai semak jika dibandingkan apabila menggunakan pemerhatian tidak berstruktur.
Selain itu, borang catatan pemerhatian juga boleh digunakan. Borang ini mencatat tingkah laku guru-pelajar mengikut sela masa yang ditetapkan (Chua, 2006). Pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan yang akan dianalisis dengan mempersembahkannya dalam bentuk naratif dengan cara memerihalkan semula apa yang terdapat pada catatan nota lapangan pemerhatian serta menyebut petikan perbualan guru-pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (Morrison, 1993). Selain itu, tema-tema juga boleh diperolehi daripada catatan berkenaan. Catatan berkenaan juga boleh menerangkan keadaan bilik darjah semasa pemerhatian dijalankan.
Temu bual - Terdapat 3 jenis temu bual iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual terbuka seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Keluaran lepas juga telah menyatakan bahawa temu bual digunakan untuk memperoleh maklumat berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak mengikut keperluan persoalan kajian (Mohd Majid, 2000). Temu bual dianalisis melalui transkripsi temu bual. Data temu bual ditranskripsikan kemudian ditaip dan diberikan nombor di bahagian sebelah kiri dan ditinggalkan kosong di sebelah kanan untuk tujuan pengekodan data. Satu ayat dalam transkripsi disebut unit. Unit yang telah dikodkan ditulis di ruang sebelah kanan kertas yang disediakan. Proses memberi kod terhadap unit-unit ayat ini akan memudahkan penyelidik mengenal pasti tema bagi setiap langkah dan memberi penerangan lanjut berkaitan tingkah laku berkenaan. Transkripsi dibaca dan tema-tema dikenal pasti kemudian dikodkan. Proses pengekodan dijalankan sehingga tamat satu transkripsi temu bual bagi seorang peserta kajian. Hasil analisis data temu bual boleh juga dipersembahkan dalam bentuk memerihalkan semula atau menggunakan kekerapan tema yang diperoleh melalui transkripsi temu bual. Kesemua jenis temubual boleh dianalisis mengikut proses yang sama iaitu dengan menghasilkan tema-tema atau dipersembahkan dalam bentuk petikan percakapan peserta kajian.
Penelitian dokumen - digunakan apabila penyelidik ingin mendapatkan data daripada dokumen-dokumen yang berkaitan. Tujuannya adalah untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada dokumen boleh diperoleh dengan menggunakan borang senarai semak. Analisis data dilakukan dengan menggunakan kekerapan atau peratus.
PERSAMPELAN DAN KAEDAH KUTIPAN DATA KUALITATIF
Sampel kajian kualitatif berbeza dengan sampel kajian kuantitatif kerana sampel yang diambil mewakili populasi lokasi/tempat kajian dijalankan manakala subjek kajian kualitatif dipilih secara bertujuan (Gay & Airasian 2000). Kajian kualitatif menggunakan pensampelan bertujuan. Subjek kajian dipilih mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan sesuai dengan tujuan kajian berkenaan dijalankan.Kaedah kutipan data kajian kualitatif melibatkan beberapa langkah penting iaitu fokus kajian, kutipan data menggunakan cara pemerhatian, temu bual, analisis dokumen, penulisan diari, nota lapangan dan pengesahan protokol temu bual serta pemerhatian (Creswell 1994). Penyelidik sebagai pemerhati atau penyelidik sendiri melibatkan diri dalam aktiviti yang diperhatikan, boleh digunakan dalam kajian kualitatif. Alat perakam suara atau video digunakan selain senarai semak pemerhatian (Cohen et. al. 2000) Tujuannya adalah untuk membantu penyelidik menyemak semula apa yang diperhatikan. Ini akan membantu meningkatkan kesahan dan keboleh percayaan hasil pemerhatian yang diperoleh. Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan ‘peer checker’ di kalangan rakan penyelidik atau individu yang dilatih untuk membuat pemerhatian. Terdapat tiga bentuk temu bual yang boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, separa struktur atau temu bual bebas. Penyelidik perlu menyediakan protokol temu bual yang terdiri daripada pengenalan, soalan pembuka, soalan kunci, soalan-soalan berkaitan soalan kunci dan soalan penutup. Protokol temu bual disediakan untuk menjawab persoalan kajian. Temu bual yang dijalankan biasanya direkodkan menggunakan alat perakam audio supaya tidak ada maklumat yang akan tertinggal atau tercicir. Temu bual berkenaan akan ditranskripkan oleh penyelidik atau pembantunya. Hasil analisis data temu bual dipersembahkan dalam bentuk naratif atau kekerapan tema. Perlu diingatkan bahawa kebolehan penyelidik mengemukakan soalan demi soalan banyak membantu kajian yang dijalankan. Jika tidak subjek kajian akan menyatakan perkara-perkara di luar fokus kajian yang dijalankan. Dokumen seperti minit mesyuarat, surat khabar, kertas kerja, latihan, surat-surat dan dokumen yang berkaitan digunakan untuk menyokong dapatan kajian. Pelbagai bentuk kutipan data digunakan dalam kajian kualitatif. Data kualitatif yang diperoleh membantu memantapkan kajian yang dijalankan. Data-data berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain. 

No comments:

Post a Comment