Thursday 31 May 2012

KAJIAN TINDAKAN,


Pengenalan

Konsep
     Kajian tindakan merupakan suatu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta dalam situasi sosial itu sendiri (pengamal/guru/pendidik) sebagai penyelidik melalui tindakan praktik (intervensi) mereka sendiri yang bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Kajian tindakan melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek.
Rasional
        Budaya penyelidikan dalam kalangan guru yang cuba dipupuk melalui projek kajian tindakan merupakan satu kepercayaan dan nilai yang mementingkan kualiti dalam amalan pengajaran dan pembelajaran, akauntabiliti serta berpegang kepada konsep penambahbaikan yang berterusan dalam suasana kerja yang kolaboratif.
      Pelancaran  PIPP 2006 – 2010 pada 16 Januari 2007  yang mempunyai enam teras strategik bagi memperkukuh sistem pendidikan negara melalui terasnya yang ke- 5 iaitu “Memartabatkan Profesion Keguruan” ada kaitan dengan kajian tindakan. Teras 5 ini memberi fokus untuk menghasilkan guru yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan, dengan memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru. PIPP menyarankan “guru perlu memahami, memberi komitmen dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan inisiatif dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan.”
Tujuan
      Menyedari peri pentingnya meningkatkan kualiti  dalam amalan pengajaran dan pembelajaran  warga pendidik di Sekolah Tinggi Muar, dan menyahut saranan Pengarah Pelajaran Johor iaitu Satu Guru Satu Kajian Tindakan, maka pihak pengurusan sekolah telah mengambil inisiatif memberikan pendedahan tentang  aspek kajian tindakan kepada warga pendidik pada 10 Januari 2009 dengan mengundang pensyarah dari Institut Perguruan Tun Hussein Onn Batu Pahat, Johor.
Implikasi Kursus
     Hasil daripada pendedahan yang diberikan guru-guru Sekolah Tinggi Muar telah mengorak langkah menghasilkan kajian tindakan mengikut bidang pengajaran masing-masing.  Seramai 46 orang guru telah berjaya menghasilkan kajian tindakan mereka dan dua daripada kajian tindakan tersebut telah terpilih mewakili Daerah Muar dalam Seminar Kajian Tindakan Peringkat Daerah Muar yang diadakan di Hotel Straits Meridian Melaka.  Guru yang terpilh ialah Puan Tuminah Binti Baharom (Mata Pelajaran Bahasa Melayu) dan Puan Siti Haiyu Binti Ismail (Mata Pelajaran Kimia). Projek Kajian Tindakan ‘Meningkatkan Kemahiran Mengesan Isi Tersurat Dalam Penulisan Rumusan Bagi Pelajar Tingkatan 5 Jauhari Dengan Menggunakan Kaedah KKPW’ (Mata Pelajaran Bahasa Melayu) telah mendapat Naib Johan dan Pembentang Terbaik di seminar tersebut dan telah mewakili Daerah Muar ke peringkat negeri.
Kesimpulan
     Konklusinya, untuk meningkatkan peranan guru di dalam bilik darjah, guru perlu kreatif dan efektif dalam penyampaian pengajaran mereka. Secara umumnya, guru boleh menjadi efektif dalam penyampaiannya dengan membuat adaptasi terhadap situasi setempat. Hal ini demikian  kerana pendekatan bagi satu kumpulan pelajar yang baik mungkin tidak boleh digunakan bagi satu kumpulan pelajaran yang lemah. Bagi membolehkan guru efektif, maka mereka perlu sentiasa memikirkan pendekatan baru dan menyesuaikan amalan mereka kepada kehendak pelajar. Penggunaan kaedah kajian tindakan boleh menjadi satu platform bagi guru menuju ke arah penambahbaikan keberkesanan.
    Pihak pengurusan sekolah amat mengharapkan warga pendidik di Sekolah Tinggi Muar terus menyuburkan budaya kajian tindakan bagi meningkatkan kualiti  dalam amalan pengajaran dan pembelajaran  di bilik darjah pada masa-masa akan datang. Sehubungan dengan itu, guru-guru diminta menghasilkan kaiian tindakan masing-masing dan berkongsi ilmu. Pihak pengurusan sekolah juga mengharapkan hasil kajian dapat dimanfaatkan dan diaplikasikan di bilik darjah demi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru.

 
To improve is to change….To change people is to educate them….

No comments:

Post a Comment