Wednesday, 30 May 2012


SENARAI PERIBAHASA DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU TINGKATAN 4 DAN 5


 1.   Di mana ada kemahuan di situ ada jalan (pepatah)
       Maksud : Jika ada azam kita akan memperoleh kejayaan

 2.   Lintah darat (simpulan bahasa)
       Maksud : peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi

 3.   Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh (ungkapan semasa)
       Maksud : Jika kita sepakat kita akan menjadi kuat, jika kita tidak
       sepakat kita akan menjadi lemah

 4.   Bagai aur dengan tebing (perumpamaan)
       Maksud : Hubungan yang rapat antara satu sama lain dan saling
       membantu

5.       Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik
      negeri sendiri (pepatah)
       Maksud : Walaupun terdapat kelebihan di negara orang, negeri sendiri   
       tetap lebih baik lagi

 6.   Jauh perjalanan luas pengalaman (pepatah)
       Maksud : Banyak mengembara fikiran akan menjadi luas

 7.   Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing (pepatah)
       Maksud : Mengalami susah senang bersama-sama

 8.   Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah (pepatah)
       Maksud : Pengagihan yang sama banyak

 9.   Bukit sama didaki, lurah sama dituruni (bidalan)
       Maksud : Sama-sama bersusah dan bersenang

 10. Kacang lupakan kulit (simpulan bahasa)
       Maksud : Tidak mengenang budi/lupa akan asal usul



 11. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung (pepatah)
       Maksud : kita seharusnya mengikut adat dan peraturan di tempat kita   
       tinggal/Taat setia pada negara tempat kita tinggal

 12. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
       (bidalan)
       Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

 13. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua (perumpamaan)
       Maksud : Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang
       lain yang  menerima akibatnya

 14. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian
       Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemujdian(pepatah)
   Maksud : Kesenangan datang selepas menempuh kesusahan.

 15. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya (pepatah)
       Maksud : jika kita membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak    
       bersungguh-sungguh, sudah pasti kita tidak akan mendapat hasilnya

 16. Rajin dan usaha tangga kejayaan (ungkapan bahasa)
       Maksud : Orang yang rajin berusaha pasti akan berjaya

 17. Peluang keemasan (simpulan bahasa)
       Maksud : Peluang yang paling baik

 18. Yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak datang
       melayang (pepatah)
       Maksud : Sesuatu kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah tanpa
       berusaha

 19. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit (bidalan)
       Maksud : Sesuatu kejayaan berpunca daripada usaha secara kecil-
       kecilan dan akhirnya menjadi besar dan mencapai apa-apa yang dihajati

 20. Bak cendawan tumbuh selepas hujan (perumpamaan)
       Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa

 21. Memerah otak (simpulan bahasa)
       Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh

 22. Mencari jalan (simpulan bahasa)
       Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara/Berusaha dengan
       menggunakan akal untuk mengatasi sesuatu masalah

 23. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat (pepatah)
       Maksud : kata sepakat yang dicapai melalui mesyuarat

 24. Biar mati anak, jangan mati adat (bidalan)
       Maksud : orang kuat berpegang pada adat

 25. Meninggi diri:
       Maksud: sombong

26. Sediakan payung sebelum hujan (bidalan)
       Maksud : Beringat-ingat sebelum ditimpa kesusahan

 27. Darah daging (simpulan bahasa)
       Maksud :  anak dan saudara-mara daripada keturunan  sendiri

 28. Bermuka dua
       Maksud: tidak jujur

 29. Baik hati
       Maksud: bersikap baik dan penyayang

 30. Tulang belakang
       Maksud: Punca kekuatan/orang harapan

 31. Genggam bara api biar sampai jadi arang
       Maksud: Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar sehingga
       mencapai kejayaan

 32. Tangan kosong
       Maksud: Hampa

 33. Melentur buluh biarlah dari rebungnya
       Maksud: Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi


 34. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
       Maksud: dua orang yang sama darjatnya dalam adat

 35. Seperti lembu dicucuk hidung
       Maksud: orang yang selalu mengikut kemahuan orang lain
 36. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
       Maksud: Segala yang dikehendaki sudah diperoleh

 37. Terang hati
       Maksud: lekas pandai

 38. Rendah hati
       Maksud: tidak meninggi diri

 39. Murah hati
       Maksud: pemurah

 40. Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas
       Adat atau sesuatu yang tidak berubah, tetapi tetap utuh

  41. Anak dagang
        Maksud: orang yang berhijrah ke tempat lain

  42. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
        Maksud: kalau takut menanggung kesusahan janganlah melakukan
        kerja yang susah

  43. Indah khabar daripada rupa
        Maksud: perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan

  44. Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
        Maksud: Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi
        yang ada di tangan hilang pula

  45. Berbesar hati
        Maksud: gembira

 46. Anak buah
       Maksud: anak saudara atau pekerja di bawah jagaan kita


 47. Tuan rumah
       Maksud: tempat berlangsungnya sesuatu acara

 48. Yang lama dikelek, yang baharu didukung
       Maksud: Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup  
       yang baharu

 49. Batu penghalang
       Maksud: Rintangan atau halangan

 50. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
       Maksud: Orang lelaki yang merisik bakal isterinya (dalam Adat Pepatih)





1 comment: