Friday, 1 November 2013

HIKAYAT LANGLANG BUANA


Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                        Setelah seketika itu maka bayan itu pun menjadi nuri datang ke atas ribaan tuan
puteri itu seraya berpantun, demikian bunyinya:
                                        Pergi ke padang membakar puan
                                        Ikat timba bertali-tali;
                                        Datang dagang mengadap tuan,
                                        Minta perhamba sekali-kali.
                  Setelah Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mendengar serta dayang-dayang dan inang pengasuh melihat nuri itu berpantun, maka asuh sekalian itu pun hairanlah di dalam hatinya. Maka kata tuan puteri di dalam hati, “Bijaksana sekali Raja Indera Bumaya itu.” Maka kata tuan puteri, “Hai nuri ,di manakah Raja Indera Bumaya itu sekarang?” Maka sahut nuri itu, “Ya tuanku tuan puteri, adapun baginda itu hampirlah ke negeri ini.” Maka tuan puteri pun berahilah hendak melihat akan Raja Indera Bumaya itu. Maka tuan puteri pun berkata, “Hai nuri ,dapatkah engkau tunjukkan aku rupanya Raja Indera Bumaya itu?” Maka sahut nuri itu, “Dapatlah juga patik tunjukkan.” Maka nuri itu pun menyelit dada tuan puteri itu dengan sayapnya, maka kelihatanlah rupa Raja Indera Bumaya itu kepada tuan puteri itu. Syahadan, seketika itu maka nuri itu pun menjadi bunga yang sudah dikarang dengan cemerlang terlalu indah-indah rupanya. Setelah tuan puteri dan segala dayang-dayang melihat nuri itu menjadi bunga maka tuan puteri hairanlah seraya mengambil bunga itu lalu diciumnya.
            Setelah maka Raja Indera Bumaya pun mengembalikan dirinya yang sediakala duduk di kanan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
                                                                (Dipetik daripada „Hikayat Langlang Buana‟. dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata dikarang dengan cemerlang dalam petikan di atas.
                                                                                                     [2 markah]
(ii) Nyatakan beberapa keistimewaan yang dimiliki oleh nuri.              [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, adakah wajar Raja Indera Bumaya menyamar diri semata-mata untuk memikat hati tuan puteri?                                                                                    [3 markah]

JAWAPAN
i) Maksud rangkai kata dikarang dengan cemerlang ialah :
   Digubah dengan begitu elok / indah sekali.

 (ii) Beberapa keistimewaan yang dimiliki oleh nuri ialah :
      Pandai berpantun
      Boleh memberitahu di mana Raja Indera Bumaya kepada tuan puteri.  
      Boleh menunjukkan rupa Raja Indera Bumaya kepada tuan puteri.
      Bertukar menjadi bunga.


(iii) Wajar Kerana
     keselamatan dirinya lebih terjamin.  
     Untuk mengaburi mata pihak musuh.
     Untuk menyelidiki sesuatu perkara tanpa diketahui oleh orang lain.
     Untuk memperdaya pihak musuh
     Untuk memikat hati orang lain.

    Tidak wajar Kerana
    tidak ikhlas atau menipu.
    Akan membahayakan diri sendiri.
    Akan hilang kepercayaan orang lain terhadap kita.
    Mudah untuk kita terpengaruh dengan perkara negatif.  
    Akan dianggap oleh orang lain sebagai pengecut

No comments:

Post a Comment