IDOLA
Cara ketiga untuk mengenalpasti kemahuan ialah dengan mengenali idola anda. Siapakah hero dalam hidup anda?
Idola adalah seseorang yang anda kagumi, sanjungi dan ingin contohi jejak langkahnya. Ia mungkin kerana kejayaan yang diperolehinya, pengorbanan yang dicurahkannya, personalitinya yang unggul atau jasanya terhadap sesuatu perjuangan yang anda anggap penting dan bermakna.
Ketika kita kecil saya pasti ramai yang meminati ‘superhero’ dalam kartun atau komik yang berjuang menentang kejahatan. Walaupun kita meningkat dewasa kita patut meneruskan semangat dan tradisi semasa kita kecil itu tetapi untuk sesuatu yang lebih realistik dan berpijak di bumi yang nyata. Idola memainkan peranan sebagai ‘superhero’ yang boleh di jadikan model dalam mengenalpasti kemahuan dan matlamat.
Bagi sesetengah orang , mungkin perkataan idola itu merujuk kepada artis atau ahli sukan pujaan mereka. Tetapi itu mungkin bukan idola yang sebenarnya. Idola lebih dari sekadar meminati seseorang. Ia bermaksud anda mahu mengikuti jejak langkahnya – dia seperti seorang ‘role model’ untuk anda contohi kerana menginginkan pencapaian yang telah dicapainya atau jasa yang telah dicurahkan.
Orang yang anda pilih sebagai idola boleh memberi satu petunjuk tentang kemahuan anda dan apa yang penting dalam hidup anda. Jika anda pilih seseorang yang berjaya dalam bidang sukan sebagai idola, mungkin anda cenderung untuk mencari dari segi apa yang anda minat dalam bidang sukan. Jika seseorang itu berjaya dalam bidang perniagaan, kemungkinan anda beraspirasi menjadi seorang ahli perniagaan berjaya.
Idola itu tidak semestinya orang ternama. Dia boleh jadi dari orang kebanyakkan dan tidak begitu terkenal. Dia boleh jadi dari kalangan keluarga anda. Ramai orang mengangkat ibubapa sebagai idola kerana hasil dari usaha dan pengorbanannya, mereka menjadi seorang yang berjaya.
Jika anda belum mempunyai idola, saya cadangkan anda perlu mengenalpasti seseorang untuk anda ikut jejak langkahnya. Apa jua keinginan anda, saya pasti ada orang dalam dunia ini yang pernah mencapai anda yang anda ingin capai. Anda hanya perlu mencarinya.
Salah satu cara mudah mencari idola ialah dengan melihat sekeliling anda – corak hidup siapa yang ingin anda lalui? Siapa yang pernah lakukan apa yang ingin anda lakukan?
Jika anda sudah pun mempunyai idola, langkah seterusnya ialah dengan mengetahui lebih lanjut tentang diri seseorang itu. Ini boleh dilakukan dengan 1) membaca bahan bacaan berunsur sejarah atau biografi (jika dia orang ternama dan ada bahan bacaan mengenai beliau) 2) bertanyakan orang lain yang mengenali beliau dengan rapat, dan 3) mendekatkan diri dengan beliau (jika beliau masih hidup dan boleh didekati) dan ambil tahu tentang dirinya.
Menerusi pengetahuan tentang kehidupan idola itu, anda akan dapat memahami latar belakang, kesusahan dan cabaran yang dilalui, prinsip dan nilai hidup, corak pemikiran, dan pencapaian-pencapaian mereka.
Selain dari memberikan inspirasi, ia akan dapat mencorakkan kemahuan anda dan seterusnya membantu anda merangka matlamat anda. Yang penting, ia membantu anda membuat keputusan. Ya membuat keputusan ketika menghadapi situasi yang sukar. Tanya diri anda ‘ Apa yang idola saya akan buat dalam situasi yang sama?’ Di sinilah anda dapat mencungkil kebijaksaan dan pengalaman idola anda dalam membuat pilihan yang sukar.
Kalau kita lihat ciri-ciri persamaan yang anda dalam mereka yang anda ambil sebagai idola, kita dapati mereka ini sudah tentu mempunyai prinsip, nilai dan sahsiah diri, dan juga corak pemikiran yang berbeza dari yang lain. Jati diri mereka begitu kuat di saat menempuhi pelbagai cabaran. Sebab itulah mereka dapat mencapai apa yang orang lain berjaya mencapainya. Ada sesuatu yang berbeza tentang mereka.
Menggunakan idola dalam mengenalpasti kemahuan ini berkait rapat dengan siri artikel saya yang sebelumnya, iaitu menyentuh tentang
misi (Bahagian 1) dan
nilai (Bahagian 2). Idola anda mempunyai misi dan nilai hidup yang jelas. Mereka juga menjalankan hidup mereka selaras dengannya.
Itulah kemahuan mereka sebenar dan begitu juga kita semua.
Wow
ReplyDelete