Tuesday, 14 February 2012

Teknik Plot Novel Kabus di Perbukitan

Berdasarkan novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah, nyatakan teknik imbas muka yang terdapat di dalam novel tersebut.

                Berdasarkan novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah, antara teknik imbas muka yang digunakan adalah sewaktu Faridah bermonolog sendirian kerana berasa hairan akan keadaan sekelilingnya. dia berasa hairan dengan keadaan bilik air yang dilengkapi dengan tab mandi, sinki yang mempunyai dua kepala paip, sabun dan berus gigi yang masih baharu dan ubat gigi berjenama ' Clean & White ', keluaran England. Faridah membuat andaian bahawa barangkali dia berada dalam sebuah hotel jauh di pergunungan yang mempunyai ciri-ciri eksklusif. Faridah merasakan berkemungkinan dia berada di Bukit Fraser.
                Selanjutnya, teknik imbas muka juga dapat dikenal pasti semasa pihak polis membuat andaian semasa proses menjejaki Faridah dan Iqbal. Dalam konteks ini, pihak polis tidak berjaya menemukan sebarang bukti yang kukuh sama ada Faridah dan Iqbal masih hidup atau telah mati. Pihak polis hanya membuat andaian bahawa Faridah dan Iqbal mungkin telah dibawa ke tempat lain setelah kemalangan berlaku. Namun begitu, pihak polis masih tidak dapat mengukuhkan lagi perkara tersebut.
                Sementelahan itu, watak Dr. Susan juga ada menggunakan teknik imbas muka. Dalam hal ini, Rahayu sering meracau-racau di dalam tidurnya semasa dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Hamidah, ibu tiri Rahayu mengalirkan air mata melihat situasi tersebut dan telah ditenangkan oleh Dr. Susan dengan mengatakan bahawa mungkin Rahayu meracau-racau akibat daripada kesan morfin. Selain itu, Dr. Susan juga membuat andaian bahawa berkemungkinan besar Rahayu mengalami transaksi bawah sedar.
                Di samping itu, teknik imbas muka telah ditunjukkan melalui watak Melina. dia telah membuat andaian bahawa adakah Benny merahsiakan sesuatu daripada pengetahuannya. Hal ini demikian kerana, Benny telah meninggalkan dirinya selama empat hari tanpa sebarang pesanan. Melina bingung dan tidak tahu ke mana hilangnya suaminya itu.
                Natijahnya, terdapat pelbagai teknik imbas muka yang telah digunakan di dalam novel Kabus di Perbukitan karaya Mohamad Kholid Hamzah.


No comments:

Post a Comment