Tuesday, 14 February 2012

Tema Novel Kabus di Perbukitan

Berdasarkan novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah, nyatakan tema bagi novel tersebut.

                Berdasarkan novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah, tema yang cuba diketengahkan adalah jati diri seorang anak bangsa Melayu terhadap adat,bangsa, agama Islam dan tanah airnya.
                Tema ini dapat dilihat berdasarkan watak utama novel ini, Faridah. Dia tidak pernah lupa akan bumi kelahirannya sebaliknya sentiasa merindui negaranya walaupun di perantauan. Sebagai contoh,  setelah 25 tahun Faridah meninggalkan Malaysia, Faridah tidak lupa akan Malaysia. Dia telah kembali ke Malaysia dan menziarahi Pak Talib dan rumah dia dibesarkan oleh ibunya, Salmah di Sungai Besar. Selain itu, apabila Faridah mengetahui Zain juga berasal dari Sungai Besar, Faridah begitu teruja untuk mengetahui perkembangan Sungai Besar dan menyatakan kerinduannya pada Sungai Besar.
                Selanjutnya, Faridah juga mempunyai jati diri yang utuh akan pegangan agamanya. Dia begitu menitikberatkan aspek halal dan haram. Walaupun Faridah menetap di luar negara, dia tidak pernah melanggar larangan dan batasannya sebagai seorang muslim. Tamsilannya, Faridah meminta anaknya, Anne untuk membeli ayam dan rempah kari di Nomad's, iaitu kedai pilihan keluarganya untuk mendapatkan makanan halal. Selain itu, Faridah juga menikahkan anaknya Melina dengan pasangannya Benny(Jabbar al-Anbia) mengikut cara hidup Islam. Mereka berdua telah dinikahkan di Masjid al Noor, Christchurch, New Zealand.
                Sementelahan itu, Faridah masih mengekalkan identitinya walaupun sudah menetap di New Zealand melebihi dua dekad. Dia tidak pernah cuba untuk menjadi orang lain atau berubah sikap setelah meninggalkan tanah airnya. Sebaliknya, semangat cinta akan negara di dalam sanubarinya bertambah utuh dan ampuh. Misalnya, Faridah mengekalkan nama panggilannya iaitu 'Idah' walaupun berada di luar negara. Faridah juga gemar mengakses internet untuk mencari siaran Radio Satu di Malaysia. Apabila Faridah rindu akan Malaysia, dia akan mendengar lahgu-lagu Melayu yang ke udara di internet.
                Natijahnya, tema jati diri seorang anak bangsa Melayu terhadap adat,bangsa, agama Islam dan tanah airnya wajar dijadikan amalan di dalam hidup kita. Hal ini demikian kerana sejauh manapun kita merantau, tanah kita yang tercinta tidak wajar dilupakan dan dianaktirikan. Oleh sebab itu, memang tidak salah lagi bahawa mengikut pepatah melayu bahawa hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.







No comments:

Post a Comment