SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU TUM DAN MARI BELAJAR BAHASA MELAYU BERSAMA-SAMA SAYA! TERIMA KASIH.

”Selamat Datang ke Blog Saya dan Mari Belajar Bahasa Melayu”

Bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris

Wednesday, 30 May 2012

TATABAHASA DALAM PENULISAN KARANGAN


KESALAHAN TATABAHASA DALAM PENULISAN KARANGAN.





Pendahuluan:
Kesalahan tatabahasa sering dilakukan oleh pelajar. Jumlah kesalahan tatabahasa yang banyak menunjukkan anda tidak mahir menulis karangan. Kesalahan ini akan menjejaskan markah anda. Oleh itu, jangan memandang enteng terhadap kesalahan-kesalahan berikut:-








Kesalahan serius yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan adalah seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana :
    Namun, Tetapi, Malah, Manakala
    Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)
    …..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)
2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata       pepatah….(ditulis di dalam ayat)
3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.
4. Memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja  ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.
5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…
7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.
8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama.  Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…
9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.
10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)
11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…
12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.
13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).
14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……
15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.
16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.
17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…
18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…
19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).
20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.
21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.
      Kesimpulannya:
Anda perlu berhati-hati semasa menulis. Sila buat semakan tatabahasa apabila selesai menulis karangan. Ketelitian anda amat dihargai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Penulisan karangan memerlukan kemahiran. Kemahiran perlu diasah dengan latihan yang mencukupi. Ingatlah, penulisan karangan tidak boleh dipelajari secara IMAGINASI.

1 comment:

  1. assalamualaikum...
    saya ingin meminta izin untuk menggunakan
    KESALAHAN TATABAHASA DALAM PENULISAN KARANGAN
    ini sebagai rujukan dalam assignment saya...

    ReplyDelete

Laman Guru Cemerlang

Kecekapan Berbahasa Guru Bahasa Melayu Dalam abad ke-21 ini, setiap guru Bahasa Melayu sama ada yang mengajar di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun di institusi pengajian tinggi seharusnya memiliki kecekapan berbahasa yang baik. Selain empat kemahiran asas yang diberi penekanan dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sgei kemahiran berbahasa, guru-guru Bahasa Melayu juga perlu menguasai kecekapan berbahasa antaranya seperti berikut:  Kecekapan berkomunikasi  Kecekapan berhujah dan membidas  Kecekapan berbincang dan mengulas  Kecekapan menyoal  Kecekapan menyatakan dan menghuraikan ilmu pengetahuan dan pendapat  Kecekapan membaca, memahami dan merumus teks  Kecekapan menganalisis dan mentafsir maklumat  Kecekapan membaca dan menaakul pelbagai bahan  Kecekapan membina ayat  Kecekapan menulis Guru-guru Bahasa Melayu dalam abad ke-21 perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan Bahasa Melayu sewajar diketahui oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang perlu difokuskan ialah:  Kesediaan guru Bahasa Melayu untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna pengetahuan guru Bahasa Melayu tentang isi kandungan Bahasa Melayu merupakan kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.  Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.  Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.  Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru Bahasa Melayu perlu menguasai ilmu tatabahasa dan ilmu pedagogi Bahasa Melayu. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna tanpa menguasai ilmu Bahasa 5 Seminar Bahasa Melayu 2011 Melayu, boleh mengganggu pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari. Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru Bahasa Melayu banyak bergantung kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis. Pengetahuan pedagogi mengajar bermaksud setiap guru perlu mempunyai pelbagai pengetahuan berkaitan pedagogi mengajar. Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, setiap guru Bahasa Melayu sewajarnya memahami dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar/pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar Bahasa Melayu. Dalam pengajaran, seharusnya pelajar merasai dan dapat memahami bahawa guru Bahasa Melayu mereka seharusnya lebih mahir dan lebih mengetahui sesuatu tajuk yang dibincangkan berbanding pelajar. Hal ini boleh dilihat antara lain melalui pedagogi mengajar yang guru gunakan.  Pendekatan pengajaran: Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, terdapat banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Selalunya guru-guru Bahasa Melayu akan menggunakan pendekatan konvensional dan tradisi yang sudah biasa digunakan dalam pengajaran seperti deduktik, induktik dan komunikatif. Kini sepatutnya guru-guru Bahasa Melayu perlu meneroka kepada pendekatan pengajaran terkini dan sesuai dengan tahap kognitif, kepelbagaian pelajar, kesesuaian tajuk yang diajar dan sebagainya. Antara pendekatan terkini yang boleh digunakan ialah pendekatan masteri, kontekstual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penyebatian kemahiran, penggabungjalinan pelbagai displin ilmu dan pembelajaran berasaskan masalah.  Kaedah pengajaran: Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya setiap guru Bahasa Melayu mengetahui dan menguasainya. Di dalam kelas kepelbagaian pelajar, kaedah mengajar berpusat pelajar seharusnya diberi penekanan oleh guru Bahasa Melayu. Antaranya ialah kaedah perbincangan, main peranan, penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri, sumbang saran 6 Seminar Bahasa Melayu 2011 dan sebagainya. Kaedah pengajaran yang banyak berpusatkan guru dan bahan tidak digalakkan digunakan oleh guru.  Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan sesuatu kaedah yang digunakan. Teknik pengajaran lebih kepada pelaksanaan bagaimana sesuatu kaedah pengajaran itu dapat dilaksanakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran merupakan kemahiran guru dalam mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, penyoalan, sumbang saran dan permainan. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran adalah untuk menarik minat pelajar, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu pelajar supaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.  Strategi pengajaran: Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, di dalam bilik darjah yang pelbagai tahap pencapaian, guru perlu memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan pelajar. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.