SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU TUM DAN MARI BELAJAR BAHASA MELAYU BERSAMA-SAMA SAYA! TERIMA KASIH.

”Selamat Datang ke Blog Saya dan Mari Belajar Bahasa Melayu”

Bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris

Tuesday 5 November 2013

PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA


Pendahuluan:
•Keluarga merupakan  institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
•Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang
•Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya.
•Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap.
•Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang memerlukan.
•Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ - rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
•Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu.
•Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.
Persoalannya………………..

Isi

1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak
- Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak.
-Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik.
-Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

2.Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan
-Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
-Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

3.Memberikan perhatian dan kasih sayang/meluangkan masa
-Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
- Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
- Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan
.
4. Memberikan didikan agama dan moral
- Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah.
- Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

5.Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak
- Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi

6.setiap ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain.
-Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung.Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni,aman dan damai.Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga,mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita  dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina.Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek Matematik,haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.Kita haruslah mengamalkan sikap "berat sama dipikul ringan sama dijinjing"dan "ke gunung sama didaki,ke lurah sama dituruni".Tegasnya,setiap ahli keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga

Penutup
- Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama


3 comments:

Laman Guru Cemerlang

Kecekapan Berbahasa Guru Bahasa Melayu Dalam abad ke-21 ini, setiap guru Bahasa Melayu sama ada yang mengajar di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun di institusi pengajian tinggi seharusnya memiliki kecekapan berbahasa yang baik. Selain empat kemahiran asas yang diberi penekanan dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sgei kemahiran berbahasa, guru-guru Bahasa Melayu juga perlu menguasai kecekapan berbahasa antaranya seperti berikut:  Kecekapan berkomunikasi  Kecekapan berhujah dan membidas  Kecekapan berbincang dan mengulas  Kecekapan menyoal  Kecekapan menyatakan dan menghuraikan ilmu pengetahuan dan pendapat  Kecekapan membaca, memahami dan merumus teks  Kecekapan menganalisis dan mentafsir maklumat  Kecekapan membaca dan menaakul pelbagai bahan  Kecekapan membina ayat  Kecekapan menulis Guru-guru Bahasa Melayu dalam abad ke-21 perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan Bahasa Melayu sewajar diketahui oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang perlu difokuskan ialah:  Kesediaan guru Bahasa Melayu untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna pengetahuan guru Bahasa Melayu tentang isi kandungan Bahasa Melayu merupakan kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.  Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.  Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.  Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru Bahasa Melayu perlu menguasai ilmu tatabahasa dan ilmu pedagogi Bahasa Melayu. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna tanpa menguasai ilmu Bahasa 5 Seminar Bahasa Melayu 2011 Melayu, boleh mengganggu pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari. Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru Bahasa Melayu banyak bergantung kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis. Pengetahuan pedagogi mengajar bermaksud setiap guru perlu mempunyai pelbagai pengetahuan berkaitan pedagogi mengajar. Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, setiap guru Bahasa Melayu sewajarnya memahami dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar/pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar Bahasa Melayu. Dalam pengajaran, seharusnya pelajar merasai dan dapat memahami bahawa guru Bahasa Melayu mereka seharusnya lebih mahir dan lebih mengetahui sesuatu tajuk yang dibincangkan berbanding pelajar. Hal ini boleh dilihat antara lain melalui pedagogi mengajar yang guru gunakan.  Pendekatan pengajaran: Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, terdapat banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Selalunya guru-guru Bahasa Melayu akan menggunakan pendekatan konvensional dan tradisi yang sudah biasa digunakan dalam pengajaran seperti deduktik, induktik dan komunikatif. Kini sepatutnya guru-guru Bahasa Melayu perlu meneroka kepada pendekatan pengajaran terkini dan sesuai dengan tahap kognitif, kepelbagaian pelajar, kesesuaian tajuk yang diajar dan sebagainya. Antara pendekatan terkini yang boleh digunakan ialah pendekatan masteri, kontekstual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penyebatian kemahiran, penggabungjalinan pelbagai displin ilmu dan pembelajaran berasaskan masalah.  Kaedah pengajaran: Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya setiap guru Bahasa Melayu mengetahui dan menguasainya. Di dalam kelas kepelbagaian pelajar, kaedah mengajar berpusat pelajar seharusnya diberi penekanan oleh guru Bahasa Melayu. Antaranya ialah kaedah perbincangan, main peranan, penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri, sumbang saran 6 Seminar Bahasa Melayu 2011 dan sebagainya. Kaedah pengajaran yang banyak berpusatkan guru dan bahan tidak digalakkan digunakan oleh guru.  Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan sesuatu kaedah yang digunakan. Teknik pengajaran lebih kepada pelaksanaan bagaimana sesuatu kaedah pengajaran itu dapat dilaksanakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran merupakan kemahiran guru dalam mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, penyoalan, sumbang saran dan permainan. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran adalah untuk menarik minat pelajar, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu pelajar supaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.  Strategi pengajaran: Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, di dalam bilik darjah yang pelbagai tahap pencapaian, guru perlu memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan pelajar. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.