Latihan 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Ceper terus menggila dan mengamuk juga sehingga seluruh anak
buah kampung kami menjadi pada kedana tahun itu. Bapa kemudian kembali kepada ketitir juga,
tetapi setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa
pulang membawa gadung seguni dua. Tahun
itu kami makan gadung itulah kerana padi habis jahanam kerana Sungai Ceper
betul-betul mengamuk.
Dan ibu waktu itu macam Ceper juga,
betul-betul naik angin dan mengamuk.
Naik angin dan mengamuk menentang Ceper yang ganas dan tidak
berperikemanusiaan itulah. Ibu akhirnya
mengalah tetapi ibu tidak kalah seterusnya.
Apabila Ceper kembali tenang dan air tidak lagi membedal, ibu kembali ke
sawah semula dan tahun berikutnya kami tidak lagi makan gadung.
Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan
puncanya daripada Ceper itu juga. Kali
ini bukan kerana banjir yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan memanjang sampai
berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja
untuk menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering
itu pun kering juga.
(Dipetik daripada
cerpen
‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam
antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan
Pustaka)
(i) Berikan kesan kemarau panjang seperti
yang dinyatakan dalam petikan cerpen?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang
perlu diambil untuk menghadapi musim kemarau?
[3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen
tersebut. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 1
i. Kesan kemarau
- sawah habis
kering
- semua telaga dan
kubang di sawah kering
- baruh-baruh yang
dulunya tidak pernah kering pun kering juga
ii. Langkah-langkah
-
berjimat cermat menggunakan air
-
sentiasa menyimpan air
-
membina empangan yang lebih
besar
iii. Pengajaran dalam petikan
-
Kita hendaklah tabah menghadapi
segala cabaran hidup. Contohnya ibu kembali ke sawah walaupun menghadapi musim
kemarau yang panjang.
Pengajaran dalam cerpen
-
Kita hendaklah mencintai alam
sekitar
-
Kita hendaklah membalas jasa
ibu bapa
-
Kita hendaklah bertanggungjawab
menyara keluarga
-
Kita hendaklah memelihara
sungai
Latihan 2
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Aku bersama sahabat-sahabat sebaya bersorak dengan penuh tenaga
apabila sekali-sekala kami turun ke lubuknya meragau ikan atau sekadar
menyembunyikan pucuk-pucuk buluh bermain acilut.
Selesai sahaja subuh, ibu sudah
berada di bumi. Kalau musim bersawah, di
sawahlah. Kalau musim tetak mengkuang,
di payalah. Kalau musim berderau di
rumah kenduri atau bersama keluarga menziarahi mayat, ibu ada-ada saja
kerjanya.
Begitulah Ceper pun, tetapi waktu
malam Ceper cergas juga, malah terasa lebih lagi kerana dari rumahku dapat juga
kedengar ngauman Ceper, terutama sewaktu air pasang, kerana di hulu hujan turun
dengan lebatnya.
Ibu tidak lagi cergas waktu malam
kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang. Tetapi apabila saja tiba subuh, ibu sudah
bangun dan bersedia menempuh apa saja ujian atau cabaran pada siang hari.
Sekali itu Ceper tiba-tiba mengamuk
macam naik angin. Hujan turun di hulu
tidak henti-henti dan airnya keruh macam air susu. Habis sampah sarap dipunggah bersama,
menumbangkan pokok-pokok yang tegak di tepi-tepi tebingnya, memuntahkan tanah
hingga terkobak rata-rata.
Airnya yang keruh likat itu terhimbau
naik ke sawah-sawah yang sedang membunting sarat padinya. Pokok-pokok padi habis tenggelam dan mati
begitu saja. Sudahlah sampah sarap yang
diangkut bersama, bangkai-bangkai binatang pun banyak yang terlekat di
tiang-tiang rumah kami.
(Dipetik daripada
cerpen ‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan
Bahasa dan Pustaka)
(i) Bagaimanakah
keadaan Ceper apabila hujan turun tidak berhenti-henti
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda,
apakah langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan banjir di Sungai Ceper? [3 markah]
(iii) Huraikan
satu perwatakan ibu dalam petikan
cerpen di atas dan satu perwatakan lain
yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 2
i. Keadaan Ceper apabila hujan turun tidak
berhenti-henti
-
airnya keruh macam air susu
-
memunggah sampah sarap
-
menumbangkan pokok yang tegak di tepi tebingnya
-
memuntahkan tanah hingga terkobak
ii. Langkah untuk mengelakkan banjir
-
memperdalam dasar Sungai Ceper
-
mengelakkan diri daripada
membuang sampah ke dalam sungai
-
mengadakan gotong-royong
membersihkan sungai
-
membersihkan sampah yang
terdapat di dalam sungai
iii. Perwatakan ibu dalam cerpen
-
Rajin : selepas solat Subuh ibu
sudah berada di tanah
Perwatakan ibu dalam cerpen
-
Tabah : Ibu tabah menghadapi
pelbagai masalah semasa mengerjakan sawah
-
Penyayang : Ibu menyayangi aku
dan suaminya
-
Bertanggungjawab : Ibu
bertanggungjawab menyara keluarga dengan mengerjakan sawah
-
Pemarah: Ibu marah-marah
apabila Sungai Ceper banjir
Latihan 3
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Aku masih ingat waktu itu ibu pun
mengamuk juga. Dia marah sangat kepada
Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas. Ibu menjerit pada bapa yang sejak pagi meninggalkan
rumah untuk naik ke bukit berdenak ketitir.
Sebelum itu ibu tidak pernah
berleter apa-apa, malah ibu bagaikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki
burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat-bulat
kepada ibu. Tetapi siang itu, sebelum
bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih
cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”
Mungkin suara ibu macam suara air
Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga
terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang
denaknya ke paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh
untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa
juga. Himbauan air Ceper kuat sangat
sehigga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
(Dipetik daripada
cerpen ‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan
Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah punca yang
menyebabkan kemarahan ibu? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda,
apakah tanggungjawab seorang bapa terhadap keluarganya?
[3 markah]
(iii) Huraikan
satu persoalan yang terdapat dalam
petikan cerpen di atas dan satu
persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 3
i.
Punca kemarahan ibu
-
padi buntingnya mati lemas
- bapa yang
sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak
ketitir
ii.
Tanggung jawab bapa
-
menyediakan keperluan asas
-
mendidik anak-anak
-
menjaga keselamatan keluarga
-
menyayangi anggota keluarga
iii. Persoalan dalam petikan
-
Kesusahan masyarakat petani
-
Tanggungjawab ketua keluarga
Persoalan dalam cerpen
-
ketabahan menempuh cabaran
-
kasih sayang terhadap keluarga
-
pencemaran alam sekitar
-
bencana alam yang merugikan
manusia
Very helpful question and sample answers!
ReplyDeleteTerima kasih atas nota ini cikgu... saya akan menggunakannya dengan semanfaat-manfaatnya... =)
ReplyDelete